Khamis, 24 Oktober 2013

Macam-macam 'korban'...

Assalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh...
Labbaikallahummalabaik....

10 Zulhijjah 1434....sesekali saja tarikh tahun Hijrah ini diingati. Tidak dinafikan. Waima diri ini, sekalipun setiap kali 1 Muharam, menanam azam untuk 'menyamaingatkan' tarikh Hijrah dan Masihi setara, namun, lazimnya sehingga 10 Muharam sahaja. Selepas itu, mulalah sedikit demi sedikit pudar ingatan terhadap bulan dalam kalendar Islam itu. Atau, kalau hendak kembali 'sedar' pun apabila tiba Ramadan dan Syawal. Astaghafirullah halazim....

Pelikkah bunyi mukadimah entri ini? Tak adalah peliknya kan, sebabnya hari ini adalah Aidiladha, raya haji atau raya korban. Kalau nak 'pelik' pun, sebab saya beraya seorang diri (sob..sob). Tak apalah, insya-Allah petang nanti adalah kawan datang menemani, tolong makan Laksa Sarawak (1st time buat...hmmm..boleh tahan jugalah. Alah, apalah susah sangat pun kalau guna perencah siap Haji Manan yang 'ngetop' namanya di kalangan Sarawakian, terutama kalau yang nak bekal bawa balik Semenanjung) dan ayam masak kicap. Teringin nak merasa sibukkan diri menyediakan juadah Aidiladha, walhal yang nak makannya, awak seorang...

Bercakap tentang korban ini, memang banyak ceritanya. Antaranya, inilah. Orang sibuk berblog, saya pun teringin juga (sebenarnya sudah lama, cuma setiap kali hendak memulakannya, minda jadi 'block'), tapi, beginilah jadinya. Tersangkut-sangkut, tersengguk-sengguk. Ada saja perkara yang 'block' untuk saya menjenguk ruang ini. Hmmm...orang lain pun ada yang lebih sibuk, tapi punya masa juga untuk berblog. Biarlah. Lain orang, lain cara dan 'alasan'nya, kannn....

(sambungan catatan yang tertangguh seminggu...) Baiklah. Setelah beberapa hari tidak menjenguk ruang ini, bermain kata-kata di hujung jari mengetuk kibod dan meletuskan 'lahar' yang 'menggelegak' di dalam 'kawah' minda ini, ada sesuatu yang menarik secara peribadi saya pada Zulhijjah kali ini. 

Pertama, Zulhijjah kali ini saya menyertai ibadah korban, setelah kali pertama menyertainya bersama teman-teman sepersekolahan menengah pada 2010 di Sekolah Menengah Sheikh Haji Othman Abdul Wahab (SHOAW), Matang, Kuching, Sarawak, sekolah di mana selama tujuh tahun saya 'berkorban' meninggalkan kampung halaman di Bekenu, Miri, Zulhijjah 1434, saya menyertainya kembali. 

Pada ketika itu, rasa teruja bukan sahaja disebabkan kali pertama menyertai ibadah korban, tetapi pada masa yang sama, itulah julung kali meraikan Aidiladha bersama teman-teman sepersekolahan yang hampir 30 tahun tidak bersua, kali pertama dapat berkongsi daging korban bersama di kalangan teman-teman, kali pertama juga menyertai mesyuarat agung alumni SHOAW sekali gus kali pertama menjadi bidan terjun mencatat minit untuk mesyuarat 'agung' yang turut dihadiri kalangan senior dan junior dari 1977. Dan, hendak dijadikan cerita 'korban' ketika itu, wang ringgit pun banyak juga yang terkorban lantaran tersilap informasi, tiket penerbangan saya ke Miri untuk menyambung cuti pun terkorban dan terpaksa buat tempahan semula pada keesokan hari selepas hari mesyuarat agung. 

Eh..eh..panjang pula imbas kembali 'korban pertama' tu. Baik. Berbalik kepada Zulhijjah 1434 ini. Entah kenapa, beberapa hari sebelum tarikh tutup penyertaan ibadah korban ini, hati saya tergerak untuk menyertainya. Walhal, sudah lama juga mendapat emel daripada pihak pengurusan korban sekali gus berkaitan Rumah Terbuka Aidiladha (ini merupakan tahun ketiga Kumpulan Media Karangkraf mengadakannya bagi menggantikan kebiasaan Rumah Terbuka Aidilfitri yang diadakan kebanyakan), tapi tidak sedikit pun diendahkan. Tup-tup, setelah mendapat emel pemberitahuan mengatakan ada satu kekosongan bahagian untuk lembu 1, saya terus tergerak me'WhatsApp' En Ahmad Yani selaku AJK pengurusan korban untuk mengisi kekosongan itu. 

Alhamdulillah, 'rejeki Tumirah'. Walaupun menurut En Mad, lembu 1 sudah penuh, lembu 2 masih ada kekosongan. Tanpa berfikir panjang, saya terus membuat pembayaran kepada Irsyad (wartawan majalah i). Entah kenapa, selepas membuat pembayaran itu, pelbagai rasa timbul di dalam diri menanti tibanya tanggal 17 Oktober, bersamaan 12 Zulhijjah iaitu hari penyembelihan korban yang dilakukan di perkarangan kompleks Kumpulan Media Karangkraf. 

Berdebar, teruja. Bukan untuk menunjuk-nunjuk, tetapi entah. Tidak tahu bagaimana diluahkan dengan kata-kata. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Tambah berbaur rasa di dalam jiwa setelah mendengar taklimat berkaitan korban kepada para peserta pada petang Jumaat 12 Oktober. Sesekali, saya berkongsi cerita dengan Mama It (Hasnita Sawal) dan Pupe Rahaizad (editor Pesona Pengantin), yang sama-sama mengambil bahagian. 

Tiba hari yang dinantikan, peserta 'korban' dipanggil turun untuk sama-sama menyertai acara penyembelihan korban yang dibuat di halaman letak kereta kompleks Karangkraf. Tatkala giliran lembu kedua 'dikorbankan' dan bisikan kata 'inilah korban ku pada tahun ini kerana Allah Taala', timbul rasa sayu di dalam diri yang tidak terucap dek kata-kata. Terlintas jua di fikiran, bagaimana nanti apabila maut menjemput ku? Wallahualam. Hanya Allah Maha Mengetahui Segala-galanya.

Gotong-royong
Sesuatu yang menarik selain acara korban di Karangkraf ini ialah acara gotong-royong atau rewang melapah lembu, potong daging, membahagi-bahagikannya untuk diagih-agihkan, seterusnya memasak untuk hidangan makan malam di kalangan staf dan keluarga Karangkraf. (Untuk rumah terbuka, adalah katering dan tukang masak yang menyediakannya)
Amalan gotong-royong dan rewang dah sinonim di kalangan keluarga Karangkraf.
Foto: MYY Cymera S3


Tahun lalu, tukang masak untuk daging goreng kunyit ialah Almaswa Che Ros, wartawan kanan Mingguan Wanita. Tapi kali ini, Maswa menyertai rombongan ibadah korban ke Vietnam. Jadi, kuranglah seorang tenaga 'ali kafe' untuk berpanas dan menggoreng daging kunyit tu. Maka, bergotong-royong dan bergilir-gilirlah kami yang diketuai Kak Pah (Siti Arfah, ass. editor MW), antaranya Wawa (editor Midi), Seda (editor Rasa), Liza (ass. editor Midi) dan beberapa orang lagi dari jabatan sekretariat memulakan tugasan menggoreng dari kira-kira jam 3 petang hingga hampir maghrib. Sedar tak sedar, bila dijenguk dalam periuk, huh! boleh hidang untuk 2000 orang makan. Berpeluh-peluh. Dengan kata 'bohong'nya, boleh perahlah baju dok berdepan bahang dapur gas selama kira-kira 3 jam tu. 


Menumis dan menggoreng cerita pun hebat, apatah lagi buat kerja 'dapur' macam ni.
Foto: MYY Cymera  S3 


Walaupun rasa penat dan sakit betis, kaki, pinggang, belakang (seluruh badanlah) yang amat (masih terasa sisa-sisanya saat mengetuk cerita ini), tapi timbul rasa seronok kerana dapat berkongsi rasa dan nikmat hidangan yang dijamu bersama ratusan staf lain. 

Bagi saya, setiap titis keringat yang jatuh juga merupakan satu pengorbanan yang tiada nilainya apabila ia dapat dikongsi bersama atau apabila berkaitan dengan kerjaya, ia dapat memberi manfaat kepada setiap pembaca khususnya bagi pembaca setia Seri Dewi & Keluarga (SDK). 

Dan, sesungguhnya, terlalu 'lebar' istilah korban, dikorbankan, mengorbankan mahupun pengorbanan. Tepuk dada, tanyalah diri....


"Dan dalam kalangan manusia, ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah, dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya"
(Surah al-Baqarah 2: 207) 

Salam dinihari...
Mirie
Inilah korban ku untuk tahun ini kerana Allah Ta'ala....semoga dirahmati-Nya.
Foto: MYY Cymera S3


Sabtu, 12 Oktober 2013

Apabila Allah sedang menguji...

Bismillahirohmanirohim....
Assalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh...

Hari ini, Sabtu 12 Oktober bersamaan 7 Zulhijjah 1434, seperti biasa, sebagaimana hujung minggu sebelum2nya sekiranya cuaca mengizinkan dan tiada sebarang halangan lain seperti tugasan atau sebarang yang berkaitan kerjaya, saya akan meluangkan masa untuk 'tawaf' di Tasik Seksyen 7, Shah Alam.

Lazimnya, saya akan bajet masa untuk keluar dan sampai di tasik tidak lebih dari jam 7.10, bagi memudahkan dapat parkir di parkir utama kawasan rekreasi itu. Begitu jugalah pagi ini tadi. Sebaik memakai kasut, saya melangkah di celah kereta dan ketika inilah kaki kanan terpelecok dengan bunyi 'krek' kedengaran. Allahuakbar! Terjerit kecil saya dibuatnya. Saya cuba bangun dan menggerak-gerakkan kaki kanan itu. Alhamdulillah, tidak ada rasa apa-apa. Saya cuba berjalan, juga tidak rasa apa-apa. Jadi, saya teruskan melakukan senaman jalan kaki sebanyak tiga pusingan seperti biasa. 

Namun, keadaan itu rupa-rupanya membawa 'padah' lebih teruk lagi. Balik ke rumah, baru terasa berdenyut-denyut. Tengok-tengok, dah mula membengkak. Terus tuam dengan ketul ais dan sapu minyak hangat. Cadang nak pergi ke klinik, tengok-tengok cuaca di luar tiba-tiba gelap dan berangin kuat. Tak lama lepas tu, hujan. Terencatlah untuk ke klinik, sampailah ke petang. Tak keluar ke mana-mana. Gosok jelah dengan minyak hangat.

Semua ni gara-gara nak keluarkan peluh. Maklum sajalah, hari-hari bekerja tak berkesempatan nak mengeluarkan peluh seperti ini. Lagilah kalau seharian dalam pejabat. Sejuk menggigil, nyaris beku, semua ada. Kecualilah kalau masa air con off atau assignment luar dan cuaca panas. Sekurang-kurangnya dengan aktiviti bersenam seperti ini, tak kiralah nak berjoging atau 'walkging', asal tak terperap saja dalam rumah baring depan TV sepanjang hari di hujung minggu, bolehlah bakar kalori yang melambak tepu dalam badan. 

Maklum sajalah gaya hidup kita masa kini. Makanan dah pelbagai pilihan. Tak bijak memilih, itulah yang mengundang penyakit. Yang sengaja mengundang penyakit usah dikatalah. Rokok misalnya merupakan penyumbang utama pelbagai penyakit. Walaupun saya bukan perokok, tapi kalau dah setiap hari dok sedut udara tercemar asap rokok, sedikit sebanyak menyumbang juga. 

Apa yang kita lakukan selain menghidarinya sedari awal, bertawakal dan memohon doa supaya sentiasa diberi kesihatan yang baik. 

Namun, apa yang menimpa saya hari ini, baru ujian kecil yang Allah beri. Itu pun dah teradoi-adoi walaupun sekadar dalam hati. Macammana pula mereka yang diuji-Nya dengan dugaan lebih besar lagi? Wallahualam. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui kenapa Dia menguji hamba-hamba-Nya. 

Salam dunia...salam sejahtera

Me Mirie..

Mula membengkak. Foto: MYY Cymera S3
Hargailah sepasang kaki kurniaan-Nya.
Melangkahlah ke jalan yang diredai.
Foto: MYY Cymera S3


















Bunyinya macam lawak...

Bismillahirohmanirrohim....
Assalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh...

Hari sejak kebelakangan ini nampaknya tidak menentu cuacanya. Beberapa minggu sudah, boleh dikatakan panas sepanjang hari hingga ke malam. Tidur pun dah tak kenal selimut. Hangat.

Tapi sejak seminggu lalu, cuaca sedikit demi sedikit berubah 'basah'. Di sebelah Malaysia Timur, hampir setiap hari status rakan-rakan facebook melaporkan cerita sama - hujan lebat...angin kuat...tak dapat tengok episod I Love Mr Arrogant hari ini...dan macam-macam lagi yang merujuk kepada disebabkan keadaan cuaca 'buruk' itu.

Ia kemudian 'berjangkit' ke sebahagian besar tanah Semenanjung Malaysia terutama Selangor, Wilayah Persekutuan dan kawasan sewaktu dengannya, kalau tak awal pagi, tengah hari, petang, langit gelap, mendung, berangin dan ada kalanya hujan beserta kilat dan petir. Kalau waktu bekerja dan masih di dalam pejabat, boleh tahan lagi dengan 'kejutan' pancaran kilat dan jeritan petir serta guntur (guruh macam lembut je bunyi). Tapi kalau seorang di rumah, apalagi 'duduk diam' (sebab semua audio visual kena off), cuak jugak bila dengar petir 'tembak' sasaran. Risau juga, barangan elektrik di rumah kena tempias tembakan tu.

Minggu ini juga banyak berita 'mengejutkan' susulan keadaan cuaca ini. Di Tanah Suci, di kala jutaan umat Islam mengerjakan ibadah haji, khabarnya bumi suci itu dilanda hujan lebat. Subhanallah...

Namun, situasi mendukacitakan yang berlaku di Negeri di Bawah Bayu, Sabah apabila sebuah pesawat ringan milik MASwings jenis Twin Otter terhempas di Kampung Sin San, Kudat pada 10 Oktober. Khabarnya pesawat ini hendak melakukan pendaratan cemas tatkala angin kencang melanda. Takziah kepada keluarga mangsa yang terbunuh.

Keadaan Twin Otter yang terhempas di Kampung Sin San, Kudat, Sabah pada 10 Oktober 2013. 
Foto: Sumber internet

Bercerita tentang pesawat ini, saya tertarik dengan pengalaman berbeza tatkala menaiki pesawat Air Asia (MYY-KUL - yg ni sebenarnya MAS punya tag haluan penerbangan. Tapi sbb senang nak ingat dan dah terbiasa) semasa balik dari bercuti Aidilfitri lalu. Sebut pasal Air Asia, selain tambang yang dikatakan murah (sebahagiannya memang betul murah. Cuma kadang-kadang saja yang buat 'nangis' bila part caj itu, caj ini. Bagasi terlebih berat, dah kena caj. Kalau daftar masuk di kaunter, kena caj lebih banding kalau buat online), perkataan 'delayed' memang sangat sinonim dengannya, termasuklah penerbangan saya pada hari tersebut. Sepatutnya terbang 7.20 petang, dah bertukar lebih kurang 8.20 mlm. Alasannya, landasan di KLIA hanya boleh guna satu sahaja. Trafik 'jammed' kata petugas di kaunter semasa drop bagasi (sebab saya dah check-in online). Baiklah. Nak buat macam mana. Itu pun ada juga sebab lain yang berkaitan cuaca, kerana di KL hujan katanya. 

OK. Berbalik kepada 'sesuatu yang berbeza' tadi. Bagi yang pernah menaiki pesawat, tentunya sudah biasa dengan penerangan keselamatan dalam penerbangan yang 'dipersembahkan' oleh kru penerbangan AKA pramugari kan. Rasanya tak pernah lagi saya lihat pramugara yang menunjuk cara2 menggunakan jaket keselamatan setiap kali menaiki pesawat, baik MAS, AirAsia mahupun FireFly (sebab ini sajalah pesawat yang pernah saya naiki). Kalau pramugara pun hanya suara latar yang memberi arahan saja. 

Nak dijadikan cerita, kali ini pun yang memberi arahan adalah pramugara. Saya tak berapa pasti namanya betul ke tidak, tapi kalau tak silap Edwin, keturunan India, tapi Bahasa Malaysianya fasih dan yang lebih menarik lagi adalah cara persembahannya tu. Lawak! Itulah yang saya dan penumpang di sebelah saya serentak cakap tatkala kami saling berpandangan. 

Mana tidaknya, selalunya gaya dan arahan yang diperdengarkan 'skima' je bunyi. "Tuan-tuan dan puan-puan, sila ambil perhatian anak kapal di hadapan anda...bla...bla..." Itulah yang saya biasa dengar sejak kali pertama naik kapal terbang MAS semasa sambung belajar di sekolah menengah di Kuching pada 1981 sampailah kali itu - 17 Ogos. Semasa penerbangan KUL-MYY saya menaiki MAS. Jadi, masih lagi gaya itu. Kecuali bagi sesiapa yang menaiki MAS Boeing 747 atau yang lengkap monitor di hadapan tempat duduk. Yang itu, hanya mainkan saja video digital arahan keselamatan berkenaan. Dah tak ada dah kakak pramugari berbaju kebaya membuat 'persembahan' sebelum pesawat 'take off'. 


Monitor yang terdapat dalam pesawat MAS Boeing 747 (dalam penerbangan balik dari Saigon, Vietnam). Selain untuk menayang video prosedur keselamatan, boleh juga menonton filem kegemaran. 
Foto: MYY Canon PowerShot 

Antara dialog yang buatkan sebahagian besar penumpang tergelak sambil kepala terjenguk-jenguk nak tengok pramugari berkemeja merah membuat persembahan di depan, termasuk saya. Walhal sebelum ini, bukanlah berlagak kononnya dah tau sangat pasal cara-cara penggunaan jaket keselamatan tu sehingga membuatkan saya tak ambil perhatian sangat pun dengan penerangan itu sebab semuanya sama dan skima je dialognya. 

Tapi, kali ini, disebabkan dialognya yang lawak tu, membuatkan saya yang dah bersedia nak pejamkan mata (itu adalah antara sebab kenapa saya gemar booking seat tepi tingkap sebelah kanan, senang nak tidur. Padahal, tidur2 ayam je. Mata je pejam, telinga tetap 'mencapang' dengar bunyi keliling) pun sama terjenguk-jenguk sambil berpandangan dan tersenyum sesama dengan penumpang di sebelah saya. 

Antara dialognya lebih kurang beginilah (tak sempat nak rekod, sebab hp dah off): "Tuan-tuan dan puan-puan....sila duduk di tempat masing-masing. Tali pinggang dah pasang belum...(dalam nada separuh berbisik, sebab itu mulanya saya dah berpersepsi sendiri; apalah pramugari ni berboraklah pulak, padahal sebenarnya dia sedang memberi arahan. Hmmm...bengong)...Sila ambil perhatian pramugari di hadapan anda yang seksi tu...bla...bla...bla...gelembungkan jaket..shhhhhh...bla..bla..bla.. Adohhh, tak boleh blah betul siap dengan sound effect tu... Tapi, dialog tu memang dari mula sampai habis, spontan dan lawak. Sekurang-kurangnya rasa hangat hati disebabkan delayed tadi, menurunlah juga parasnya. Mana tidaknya, dari jam 5 petang dah tercongok seorang di Miri Airport, alih-alih sepatut sampai di LCCT sekitar 9.55 mlm, dekat 11.30 mlm baru mendarat. Kesian kakak sepupu yang datang menjemput. Dahlah demam, terpaksalah menunggu lambat. Sori kazen ku...

Tak kiralah macam mana cara penyampaiannya, soal keselamatan ini sebenarnya jangan dipandang remeh. Walaupun malang tidak berbau, nahas boleh berlaku bila-bila masa sebagaimana kejadian di Kudat itu, tapi sekurang-kurangnya, tahulah serba sedikit apa yang perlu dilakukan kalau berlaku sesuatu. Samalah juga macam kita bawa kereta ke, motosikal ke, waima basikal pun, kenalah ikut undang-undang, spesifikasi yang disediakan pada kenderaan tu dan sebagainya. Adalah sebab dan 'maknanya' tu. 

Kaedah penyampaian oleh pramugara Air Asia tu pada saya adalah daya penarik untuk orang seperti saya yang selama ni 'mengantuk' dengar dialog 'skima' dan sama saja tonasinya, kembali memberi perhatian. Bak intro kebanyakan kru kabin sebelum meneruskan arahan; "prosedur keselamatan pesawat ini mungkin berbeza dengan pesawat lain yang pernah anda naiki."

Salam Dunia...Salam Aidiladha..


Teringin untuk terbang lagi ke sini...kenangan sebelum menaiki pesawat MAS SAI-KUL pada 20 Disember 2012. 
Foto: MYY Canon PowerShot


Isnin, 7 Oktober 2013

Best Wishes...Arsene Wenger

Assalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh....

Minggu ini, banyak yang menguja saya terutama dalam sukan bola sepak. Sarawak yang dicop Team Cap Ayam tu akhirnya membuktikan tiada kaitan dengan unsur rasuah. Kelegaan itu disambut pula dengan kegembiraan apabila di suku akhir kedua, sekali lagi team kendalian Robert Alberts membuktikan kebangkitan era kegemilangan Ngap Sayot yang diilhamkan Awang Mahyan sekitar akhir 80-an. Kali ini dengan menyingkirkan Sime Darby, 3-1 sekali gus melangkah bergaya ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia. Tahniah! Lepas ni Bujang Senang bertemu Tok Gajah. Harap-harap semangat itu berterusan. Agi idup agi ngelaban, teruskan ngap sampai piala dalam genggaman. Ngap Sayot.

Sebelum itu, saya dapat emel berupa newsletter daripada bos team Barclay Premier League (BPL), Arsenal, Arsene Wenger. Wah! bangga nih dapat emel daripada Encik Wenger.  

Dear NORHAYATI,

I am pleased to welcome you to your first monthly Membership Newsletter and I am delighted that you have joined us as a Digital Member. To know that we already have hundreds of thousands of Digital Members since the start of this season means so much to me and the team.

As the 2013/14 season starts to gather pace I believe we can be very positive about what we can achieve. Our players are continuing to develop and with the additions we have made to the squad this summer I feel that we can have a very strong season.

As ever, the season will be a long one, full of highs and hopefully not too many lows but I feel that we have the quality, belief and commitment to do something very special this year. I am delighted that you are joining us on this journey and as always thank you for your loyalty and support.

Best wishes



Arsène Wenger

Walaupun hakikatnya semua yang menjadi ahli digital Arsenal Football Club dapat surat serupa dan 'copy paste' je oleh admin, tapi ia tetap menguja, sebab tertera nama dalam IC, NORHAYATI. 

Dalam pada itu, walaupun Arsenal sekadar dapat 1 mata, tapi sekurang-kurangnya masih kekal dalam kelompok teratas, sama dengan team kedua saya, Liverpool. Sekurang-kurangnya juga, bersemangatlah menghadapi kerja dan deadline sepanjang minggu ini. 

OKlah. Tiba-tiba rasa mengantuk pula walaupun banyak sebenarnya cerita bola dan tenis yang nak dikongsi di sini. Sambung lain waktu lah ya.

 Agi idup, agi ngelaban...Ngap Sayot!!!!...

Mirie

Selasa, 1 Oktober 2013

Yang duit 'bertingkek-tingkek', yang asap berkepul-kepul

Assalamualaikum warrahmatullahiwabarakatuh....
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih & Penyayang....

Entri kali ini mungkin lebih bernada lepas geram. Terserah. Yg pasti, rasa berbungkam itu membuak2 utk diluahkan di sini gara2 encik2 yg asap berkepul2 bertingkek-tingkek di meja seblh semasa makan tgh hari di sebuah restoran asam pedas. Dahlah selera yg membuak2 nak berlaukkan asam pedas jenahak sedikit terencat dek 'kelambatannya', bertambah2 lah tersentap dgn gelagat encik2 itu. . 

Minggu lepas, hari Khamis 26 September, saya berkesempatan ke gym di Tingkat 4, Bangunan Sinar Harian. Inilah kali pertama saya menjejak kaki ke situ sejak ia beroperasi dan dilengkapi peralatan gym. Kali pertama jejak ke ruang berkenaan, masih kosong. Belum ada kemudahan dan peralatan gym lagi. Itu pun asalnya Liza Ali dan Wawa Midi ajak, saya kata, taklah kot, sbb dah nak balik. Tapi, entah apa yg membuatkan tiba-tiba saya berubah fikiran tak sampai beberapa minit. Terus saya minta Liza tunggu di bawah utk sama2 ke bangunan sebelah. 

Sampai di tingkat paling atas itu, di gelanggang serba guna, sekumpulan staf lelaki sdg berlatih sepak takraw. Sebaik masuk ke bilik gym, riuh rendah suara2 kwn2 menyambut kehadiran kami bertiga. 

Apa lagi, saya tiba-tiba jadi teruja melihat kegigihan mereka berbasikal, ber'treadmill', angkat berat. Saya cuba senaman tangan dgn 'dumbbells'. Hmm...seronok jugak. Walaupun sekadar senaman manja2, mengayuh basikal selama kira-kira 15 minit, tapi saya sudah berjaya membakar 20 kalori (menurut cacatan di papannyalah...) dan badan pun berpeluh2. Saya cuba juga senaman tangan. Sekejap saja, dah bercucuran peluh di dahi. Rasa ringan badan. Cuma mungkin sebab tak bercadang pun utk ke gym, jadi, pakaiannya pun tak berapa sesuailah. Tapi yg pasti, 'workout' manja2 tu dah membuatkan saya rasa ketagih utk ke gym, utk jadi seorang yg sihat, walaupun kesan drpd 'angkat berat' tu, badan saya jadi sakit2.

Bercerita tentang sihat ni, saya rasa semua org pun mengimpikan diri sentiasa sihat walafiat, tanpa penyakit. Yelah, kalau dah sakit, duit 'bertingkek-tingkek' pun dah tak ada maknanya. Lainlah kalau duit bertingkek-tingkek tu dimanfaatkan ke arah kehidupan yg lebih baik, lebih sihat. Kalau pun tak untuk diri sendiri, untuk masyarakat/org lain. Contohnya, bina gym atau tempat2 rekreasi yg boleh org manfaatkan. Sekurang-kurangnya, kalau pun bukan utk cari untung (boleh buat bisnes apa), boleh juga buat untung pahala bertingkek-tingkek, kan. 

Ini tidak. Sesetengah org tu, duit bertingkek-tingkek, tapi dimanfaatkan dengan cara 'dibakar'. Apa lagi kalau bukan merokok. Walaupun dah difatwakan merokok/rokok adalah haram, tapi tak ada memberi sebarang kesan kepada perokok tegar. 


Pengalaman makan tgh hari bersama empat lagi rakan lain di restoran asam pedas bersebelahan Checkers Seksyen 15, Shah Alam pada hari yg sama. Memandangkan restoran tu jenis terbuka, memanglah tiada larangan merokok pun, tapi, yg membuatkan hati rasa terbakar bila ada spesies tegar ini langsung tiada sifat keprihatinan dan 'kesah' privasi org lain di sekeliling. 

Bukan main lagi menikmatinya sambil nengok asap yang naik bertingkek-tingkek kepulnya. Beberapa kali kami yg duduk betul2 di belakang encik2 ni terbatuk2 sambil menutup hidung dan beberapa kali juga encik2 ni sbnrnya perasan perlakuan kami tu. Tapi, bukannya nak berhenti atau sekurang2nya minta maaf sbb asap rokok tu menghala ke arah kami, sebaliknya lepas sebatang, sebatang pula yg dibakar, dihisap dan dihembus kepul asapnya yg utk ke sekian kalinya menampar2 wajah kami di situ. 

Nak pindah tempat, semua dah penuh, nak tegur? Kalau gentleman atau sekurang2nya prihatin dan 'kesah' dgn org lain, rasanya semua pun boleh fikir sendiri kan. 

Bukan apa, setiap kali menemu bual pakar kesihatan aka doktor perubatan, apabila tiba pada soalan 'bagaimana mencegah' sesuatu penyakit/masalah kesihatan, hampir semuanya menyenaraikan; ubah gaya hidup dan ELAK/JANGAN MEROKOK. 

Jadi, tolonglah. Jgn jadi penjenayah senyap hanya disebabkan SEBATANG ROKOK yg mampu menjadi pembunuh senyap pada diri mu, keluarga mu dan insan lain yg tidak berdosa.

Wassalam warrahmatullahi wabarakatuh...

Misi memburu perokok tegar....awas, tembak kang dgn pinball ni...
Salah satu aktiviti sihat yg boleh diisi di masa lapang adalah dgn sukan pinball. Tapi ini bukanlah sukan kegemaran saya. Sekadar mencuba dan tidak mahu ketinggalan semasa Kursus Team Building Dusun Eco Resort 13-15 Mei 2011. Kalau Mak Nuri pun boleh, kenapa saya tidak kan? Walaupun ia antara sukan lasak dan berisiko 'mencederakan' tapi dlm masa yg sama, ia sebenarnya banyak mendidik 'dlm diri' kita. Cubalah sendiri, anda akan tahu apa yg tersirat di sebaliknya....