Sabtu, 12 Oktober 2013

Apabila Allah sedang menguji...

Bismillahirohmanirohim....
Assalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh...

Hari ini, Sabtu 12 Oktober bersamaan 7 Zulhijjah 1434, seperti biasa, sebagaimana hujung minggu sebelum2nya sekiranya cuaca mengizinkan dan tiada sebarang halangan lain seperti tugasan atau sebarang yang berkaitan kerjaya, saya akan meluangkan masa untuk 'tawaf' di Tasik Seksyen 7, Shah Alam.

Lazimnya, saya akan bajet masa untuk keluar dan sampai di tasik tidak lebih dari jam 7.10, bagi memudahkan dapat parkir di parkir utama kawasan rekreasi itu. Begitu jugalah pagi ini tadi. Sebaik memakai kasut, saya melangkah di celah kereta dan ketika inilah kaki kanan terpelecok dengan bunyi 'krek' kedengaran. Allahuakbar! Terjerit kecil saya dibuatnya. Saya cuba bangun dan menggerak-gerakkan kaki kanan itu. Alhamdulillah, tidak ada rasa apa-apa. Saya cuba berjalan, juga tidak rasa apa-apa. Jadi, saya teruskan melakukan senaman jalan kaki sebanyak tiga pusingan seperti biasa. 

Namun, keadaan itu rupa-rupanya membawa 'padah' lebih teruk lagi. Balik ke rumah, baru terasa berdenyut-denyut. Tengok-tengok, dah mula membengkak. Terus tuam dengan ketul ais dan sapu minyak hangat. Cadang nak pergi ke klinik, tengok-tengok cuaca di luar tiba-tiba gelap dan berangin kuat. Tak lama lepas tu, hujan. Terencatlah untuk ke klinik, sampailah ke petang. Tak keluar ke mana-mana. Gosok jelah dengan minyak hangat.

Semua ni gara-gara nak keluarkan peluh. Maklum sajalah, hari-hari bekerja tak berkesempatan nak mengeluarkan peluh seperti ini. Lagilah kalau seharian dalam pejabat. Sejuk menggigil, nyaris beku, semua ada. Kecualilah kalau masa air con off atau assignment luar dan cuaca panas. Sekurang-kurangnya dengan aktiviti bersenam seperti ini, tak kiralah nak berjoging atau 'walkging', asal tak terperap saja dalam rumah baring depan TV sepanjang hari di hujung minggu, bolehlah bakar kalori yang melambak tepu dalam badan. 

Maklum sajalah gaya hidup kita masa kini. Makanan dah pelbagai pilihan. Tak bijak memilih, itulah yang mengundang penyakit. Yang sengaja mengundang penyakit usah dikatalah. Rokok misalnya merupakan penyumbang utama pelbagai penyakit. Walaupun saya bukan perokok, tapi kalau dah setiap hari dok sedut udara tercemar asap rokok, sedikit sebanyak menyumbang juga. 

Apa yang kita lakukan selain menghidarinya sedari awal, bertawakal dan memohon doa supaya sentiasa diberi kesihatan yang baik. 

Namun, apa yang menimpa saya hari ini, baru ujian kecil yang Allah beri. Itu pun dah teradoi-adoi walaupun sekadar dalam hati. Macammana pula mereka yang diuji-Nya dengan dugaan lebih besar lagi? Wallahualam. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui kenapa Dia menguji hamba-hamba-Nya. 

Salam dunia...salam sejahtera

Me Mirie..

Mula membengkak. Foto: MYY Cymera S3
Hargailah sepasang kaki kurniaan-Nya.
Melangkahlah ke jalan yang diredai.
Foto: MYY Cymera S3


















Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.