Khamis, 24 Oktober 2013

Macam-macam 'korban'...

Assalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh...
Labbaikallahummalabaik....

10 Zulhijjah 1434....sesekali saja tarikh tahun Hijrah ini diingati. Tidak dinafikan. Waima diri ini, sekalipun setiap kali 1 Muharam, menanam azam untuk 'menyamaingatkan' tarikh Hijrah dan Masihi setara, namun, lazimnya sehingga 10 Muharam sahaja. Selepas itu, mulalah sedikit demi sedikit pudar ingatan terhadap bulan dalam kalendar Islam itu. Atau, kalau hendak kembali 'sedar' pun apabila tiba Ramadan dan Syawal. Astaghafirullah halazim....

Pelikkah bunyi mukadimah entri ini? Tak adalah peliknya kan, sebabnya hari ini adalah Aidiladha, raya haji atau raya korban. Kalau nak 'pelik' pun, sebab saya beraya seorang diri (sob..sob). Tak apalah, insya-Allah petang nanti adalah kawan datang menemani, tolong makan Laksa Sarawak (1st time buat...hmmm..boleh tahan jugalah. Alah, apalah susah sangat pun kalau guna perencah siap Haji Manan yang 'ngetop' namanya di kalangan Sarawakian, terutama kalau yang nak bekal bawa balik Semenanjung) dan ayam masak kicap. Teringin nak merasa sibukkan diri menyediakan juadah Aidiladha, walhal yang nak makannya, awak seorang...

Bercakap tentang korban ini, memang banyak ceritanya. Antaranya, inilah. Orang sibuk berblog, saya pun teringin juga (sebenarnya sudah lama, cuma setiap kali hendak memulakannya, minda jadi 'block'), tapi, beginilah jadinya. Tersangkut-sangkut, tersengguk-sengguk. Ada saja perkara yang 'block' untuk saya menjenguk ruang ini. Hmmm...orang lain pun ada yang lebih sibuk, tapi punya masa juga untuk berblog. Biarlah. Lain orang, lain cara dan 'alasan'nya, kannn....

(sambungan catatan yang tertangguh seminggu...) Baiklah. Setelah beberapa hari tidak menjenguk ruang ini, bermain kata-kata di hujung jari mengetuk kibod dan meletuskan 'lahar' yang 'menggelegak' di dalam 'kawah' minda ini, ada sesuatu yang menarik secara peribadi saya pada Zulhijjah kali ini. 

Pertama, Zulhijjah kali ini saya menyertai ibadah korban, setelah kali pertama menyertainya bersama teman-teman sepersekolahan menengah pada 2010 di Sekolah Menengah Sheikh Haji Othman Abdul Wahab (SHOAW), Matang, Kuching, Sarawak, sekolah di mana selama tujuh tahun saya 'berkorban' meninggalkan kampung halaman di Bekenu, Miri, Zulhijjah 1434, saya menyertainya kembali. 

Pada ketika itu, rasa teruja bukan sahaja disebabkan kali pertama menyertai ibadah korban, tetapi pada masa yang sama, itulah julung kali meraikan Aidiladha bersama teman-teman sepersekolahan yang hampir 30 tahun tidak bersua, kali pertama dapat berkongsi daging korban bersama di kalangan teman-teman, kali pertama juga menyertai mesyuarat agung alumni SHOAW sekali gus kali pertama menjadi bidan terjun mencatat minit untuk mesyuarat 'agung' yang turut dihadiri kalangan senior dan junior dari 1977. Dan, hendak dijadikan cerita 'korban' ketika itu, wang ringgit pun banyak juga yang terkorban lantaran tersilap informasi, tiket penerbangan saya ke Miri untuk menyambung cuti pun terkorban dan terpaksa buat tempahan semula pada keesokan hari selepas hari mesyuarat agung. 

Eh..eh..panjang pula imbas kembali 'korban pertama' tu. Baik. Berbalik kepada Zulhijjah 1434 ini. Entah kenapa, beberapa hari sebelum tarikh tutup penyertaan ibadah korban ini, hati saya tergerak untuk menyertainya. Walhal, sudah lama juga mendapat emel daripada pihak pengurusan korban sekali gus berkaitan Rumah Terbuka Aidiladha (ini merupakan tahun ketiga Kumpulan Media Karangkraf mengadakannya bagi menggantikan kebiasaan Rumah Terbuka Aidilfitri yang diadakan kebanyakan), tapi tidak sedikit pun diendahkan. Tup-tup, setelah mendapat emel pemberitahuan mengatakan ada satu kekosongan bahagian untuk lembu 1, saya terus tergerak me'WhatsApp' En Ahmad Yani selaku AJK pengurusan korban untuk mengisi kekosongan itu. 

Alhamdulillah, 'rejeki Tumirah'. Walaupun menurut En Mad, lembu 1 sudah penuh, lembu 2 masih ada kekosongan. Tanpa berfikir panjang, saya terus membuat pembayaran kepada Irsyad (wartawan majalah i). Entah kenapa, selepas membuat pembayaran itu, pelbagai rasa timbul di dalam diri menanti tibanya tanggal 17 Oktober, bersamaan 12 Zulhijjah iaitu hari penyembelihan korban yang dilakukan di perkarangan kompleks Kumpulan Media Karangkraf. 

Berdebar, teruja. Bukan untuk menunjuk-nunjuk, tetapi entah. Tidak tahu bagaimana diluahkan dengan kata-kata. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Tambah berbaur rasa di dalam jiwa setelah mendengar taklimat berkaitan korban kepada para peserta pada petang Jumaat 12 Oktober. Sesekali, saya berkongsi cerita dengan Mama It (Hasnita Sawal) dan Pupe Rahaizad (editor Pesona Pengantin), yang sama-sama mengambil bahagian. 

Tiba hari yang dinantikan, peserta 'korban' dipanggil turun untuk sama-sama menyertai acara penyembelihan korban yang dibuat di halaman letak kereta kompleks Karangkraf. Tatkala giliran lembu kedua 'dikorbankan' dan bisikan kata 'inilah korban ku pada tahun ini kerana Allah Taala', timbul rasa sayu di dalam diri yang tidak terucap dek kata-kata. Terlintas jua di fikiran, bagaimana nanti apabila maut menjemput ku? Wallahualam. Hanya Allah Maha Mengetahui Segala-galanya.

Gotong-royong
Sesuatu yang menarik selain acara korban di Karangkraf ini ialah acara gotong-royong atau rewang melapah lembu, potong daging, membahagi-bahagikannya untuk diagih-agihkan, seterusnya memasak untuk hidangan makan malam di kalangan staf dan keluarga Karangkraf. (Untuk rumah terbuka, adalah katering dan tukang masak yang menyediakannya)
Amalan gotong-royong dan rewang dah sinonim di kalangan keluarga Karangkraf.
Foto: MYY Cymera S3


Tahun lalu, tukang masak untuk daging goreng kunyit ialah Almaswa Che Ros, wartawan kanan Mingguan Wanita. Tapi kali ini, Maswa menyertai rombongan ibadah korban ke Vietnam. Jadi, kuranglah seorang tenaga 'ali kafe' untuk berpanas dan menggoreng daging kunyit tu. Maka, bergotong-royong dan bergilir-gilirlah kami yang diketuai Kak Pah (Siti Arfah, ass. editor MW), antaranya Wawa (editor Midi), Seda (editor Rasa), Liza (ass. editor Midi) dan beberapa orang lagi dari jabatan sekretariat memulakan tugasan menggoreng dari kira-kira jam 3 petang hingga hampir maghrib. Sedar tak sedar, bila dijenguk dalam periuk, huh! boleh hidang untuk 2000 orang makan. Berpeluh-peluh. Dengan kata 'bohong'nya, boleh perahlah baju dok berdepan bahang dapur gas selama kira-kira 3 jam tu. 


Menumis dan menggoreng cerita pun hebat, apatah lagi buat kerja 'dapur' macam ni.
Foto: MYY Cymera  S3 


Walaupun rasa penat dan sakit betis, kaki, pinggang, belakang (seluruh badanlah) yang amat (masih terasa sisa-sisanya saat mengetuk cerita ini), tapi timbul rasa seronok kerana dapat berkongsi rasa dan nikmat hidangan yang dijamu bersama ratusan staf lain. 

Bagi saya, setiap titis keringat yang jatuh juga merupakan satu pengorbanan yang tiada nilainya apabila ia dapat dikongsi bersama atau apabila berkaitan dengan kerjaya, ia dapat memberi manfaat kepada setiap pembaca khususnya bagi pembaca setia Seri Dewi & Keluarga (SDK). 

Dan, sesungguhnya, terlalu 'lebar' istilah korban, dikorbankan, mengorbankan mahupun pengorbanan. Tepuk dada, tanyalah diri....


"Dan dalam kalangan manusia, ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah, dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya"
(Surah al-Baqarah 2: 207) 

Salam dinihari...
Mirie
Inilah korban ku untuk tahun ini kerana Allah Ta'ala....semoga dirahmati-Nya.
Foto: MYY Cymera S3


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.